suria

Kes Ah Long Menurun Sejak KDN Isytihar Perang

KUALA LUMPUR: Selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengisytiharkan perang habis-habisan ke atas "ah long" pada Jun lepas, kes melibatkan peminjam wang tidak berlesen itu menurun sebanyak 163 kes tahun ini.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, penurunan itu menunjukkan ketegasan KDN dalam menangani isu ah long di negara ini yang boleh mengancam nyawa peminjam.

Pada tahun lepas pihaknya menerima sebanyak 636 kes ah long yang melibatkan pinjaman kira-kira RM57 juta, dan tahun ini kes yang diterimanya menurun kepada 473 kes dengan pinjaman kira-kira RM30 juta, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Penurunan ini setelah campur tangan pihak KDN terutama menterinya dalam menangani isu ah long. Kita berharap kes-kes ah long ini akan terus menurun pada masa hadapan," katanya.

Michael Chong berkata, daripada jumlah 473 kes itu, kaum Cina merupakan peminjam paling ramai iaitu sebanyak 70 peratus, Melayu (21 peratus) dan India (sembilan peratus).

Daripada jumlah itu juga katanya, 78 peratus peminjam adalah lelaki manakala selebihnya wanita, dan peningkatan di kalangan peminjam kaum wanita dilihat meningkat sedikit.

"Sebanyak 80 peratus meminjam dengan ah long kerana berjudi. Kebanyakan kaum Melayu meminjam kerana pelaburan saham dan perniagaan, manakala kaum India meminjam untuk perniagaan dan gaya hidup," katanya.

Beliau berkata, kes terbaru diterimanya melibatkan seorang wanita yang dikenali sebagai S L Chong, 43, yang meminjam daripada empat ah long dengan nilai pinjaman RM15,000 pada awal bulan ini bertujuan untuk pelaburan, namun beliau dikatakan melarikan diri selepas gagal membayar hutang ah long.

"Akibat takut dikejar ah long, wanita ini melarikan diri meninggalkan suaminya, Y S Chan dan anaknya yang berusia 12 tahun pada 4 Disember lepas, tetapi ditemui semula pada 11 Disember lepas selepas pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) menghubungi suaminya," katanya.

Katanya, Chong dimasukkan ke hospital kerana cuba membunuh diri dengan meminum cecair Dettol dan tujuh biji ubat selsema di sebuah bilik hotel akibat tekanan perasaan kerana gagal membayar hutang ah long dan ditambah pula dengan hutang lapan kad kredit miliknya kira-kira RM35,000.

"10 tahun lalu Chong juga pernah membuat pinjaman ah long untuk tujuan yang sama tetapi hutangnya itu dilangsaikan oleh suaminya kira-kira RM70,000," katanya.

Michael Chong berkata S L Chong kini ditempatkan di wad psikiatri HKL kerana mengalami masalah mental. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain