suria

Kerajaan Sasar 100 Sekolah Prestasi Tinggi Pada 2012

PETALING JAYA: Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mewujudkan 100 sekolah prestasi tinggi menjelang 2012 sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pendidikan.

Ketua Makmal NKRA untuk Pendidikan, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, Kementerian Pelajaran percaya mereka boleh mencapai jumlah yang disasar itu memandangkan kini, terdapat sekolah kluster yang turut menumpukan kepada standard kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran.

"Kerajaan telah mensasarkan 20 sekolah untuk diiktiraf sebagai sekolah prestasi tinggi tahun depan," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Makmal NKRA Pendidikan bertajuk "Pendidikan Berkualiti dan Mampu Dimiliki Oleh Semua Rakyat Malaysia" pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway di sini hari ini.

GTP dua hari, yang bermula hari ini, dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Noor Rezan, yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran berkata, tumpuan kepada sekolah prestasi tinggi adalah antara empat teras untuk meluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan mampu dimiliki dalam NKRA untuk pendidikan.

Tiga lagi bidang yang diberi tumpuan ialah pra sekolah, kemahiran membaca dan mengira serta imbuhan baru untuk pengetua dan guru besar.

Beliau berkata, kerajaan mahu pra sekolah menjadi aspek penting sistem pendidikan negara memandangkan kanak-kanak berusia empat dan lima tahun cepat mempelajari sesuatu.

"Pada masa ini kemasukan membabitkan pra sekolah hanya pada tahap 67 peratus. Kerajaan mensasarkan untuk mencapai 87 peratus kemasukan dalam tempoh tiga tahun.

"Oleh itu, kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada sektor swasta untuk meningkatkan pendidikan pra sekolah," katanya.

Untuk aspek membaca dan mengira, beliau berkata, setiap kanak-kanak akan dapat menguasai kemahiran membaca dan mengira selepas tiga tahun berada di sekolah rendah arus perdana menjelang akhir 2012.

"Kerajaan mensasarkan 90 peratus dalam membaca dan mengira menjelang tahun depan. Untuk murid yang memerlukan perhatian khas, kurikulum khas membaca dan mengira telah direka," katanya.

Noor Rezan berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan imbuhan baru untuk Guru Besar dan Pengetua sebagai penghargaan kepada sumbangan dan prestasi pengetua dan guru besar bagi memastikan sekolah diurus dan ditadbir secara profesional.

"Kami mensasarkan dua peratus daripada pengetua diberi anugerah tahun depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain