suria

Kenderaan Asing Bawa Keluar Lebih 20 Liter Mungkin Dirampas - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kenderaan asing yang ingkar mematuhi larangan membawa lebih 20 liter petrol dan diesel ketika keluar melalui sempadan negara mungkin akan dirampas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail, tindakan tegas itu mampu mematahkan usaha penyeludupan minyak dan pembelian luar biasa di sempadan.

"Mana-mana kenderaan yang kita syaki akan ditahan. Jika lebih 20 liter kita berhak untuk rampas dengan kereta-kereta sekali," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan dan melancarkan produk keluaran koperasi dan pembiayaan kereta nasional di sini hari ini.

Larangan penjualan petrol dan diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan asing di stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer dari pintu sempadan negara berkuatkuasa semalam.

Ismail Sabri berkata, larangan itu dijangka berterusan sehingga mekanisme baru sistem pengurusan subsidi minyak untuk rakyat dimulakan Mei tahun depan.

Semalam, seorang pengusaha stesyen minyak di Bukit kayu Hitam menjadi peniaga pertama dikenakan tindakan selepas larangan itu dikuatkuasakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain