suria

Kastam Rampas Mercun Bernilai RM518,275

BUTTERWORTH: Bahagian Penguatkuasa Kastam Pulau Pinang berjaya merampas mercun roket seberat 20,731 kilogram yang diseludup dari China bernilai RM518,275 melibatkan duti sebanyak RM336,878.75.

Pengarah Kastam Negeri, Datuk Matrang Suhaili berkata, rampasan itu hasil intipan pihak Kastam selama 10 hari berikutan maklumat daripada orang ramai dan serbuan dilakukan pada 11 pagi semalam.

"Seorang ejen penghantaran iaitu lelaki warga tempatan berusia 25 tahun ditahan untuk siasatan lanjut dan siasatan awal mendapati barangan itu diseludup oleh sindiket yang sama berdasarkan modus operandi yang sama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Matrang berkata, kesemua mercun itu dibawa dengan sebuah kontena yang menggunakan alamat sebuah kilang berstatus Gudang Pengilangan Berlesen di Sungai Petani.

"Bagaimanapun pihak kilang menafikan konsainmen tersebut milik mereka," katanya.

Beliau berkata, kesalahan bagi kes ini ialah mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan pertama denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, hukuman bagi kesalahan kedua dan berikutnya denda tidak kurang 20 kali ganda nilai barang dan tidak melebihi 40 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November tahun ini, pihak Kastam Pulau Pinang telah membuat rampasan pelbagai jenis barang larangan dan barang bercukai dengan anggaran nilai sebanyak RM19.6 juta dan melibatkan cukai sebanyak RM20.2 juta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain