suria

Gamuda Mahu Tawaran Munasabah Bagi Aset Air

SHAH ALAM: Gamuda Bhd berharap kerajaan akan membuat tawaran yang berpatutan kepada penjual aset air di Selangor, kata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Lin Yun Ling, di sini hari ini.

Beliau berkata, tawaran baru itu bukan sahaja harus mengambil kira nilai aliran tunai terdiskaun malah juga wang berjumlah RM1.5 bilion yang dilaburkan oleh Gamuda dan pendapatan yang akan diraih dalam 20 tahun baki tempoh konsesi.

Bercakap selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu, Lin berkata, Gamuda bersedia membincangkan perkara itu selanjutnya dengan kerajaan.

"Sebagai salah satu penjual, kami sanggup berkompromi dan bersikap fleksibel dari segi penilaian, tetapi harganya haruslah munasabah," tegasnya.

Pengurusan Aset Air Bhd, sebuah firma yang dikendalikan Kerajaan Persekutuan, dijangka mengumumkan tawaran baru itu minggu ini selepas kerajaan Selangor membatalkan rancangan asal untuk membayar RM9.2 bilion bagi aset itu.

Rancangan itu dibatalkan setelah Puncak Niaga Holdings Bhd, Gamuda dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd tidak dapat mencapai persetujuan tentang harga yang ditawarkan oleh kerajaan negeri itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain