suria

Empat Maut Dalam Kemalangan Di Perak

LUMUT: Sepasang suami isteri dan dua beradik terbunuh dalam dua kemalangan berasingan di sini dan Gerik semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Supritendan Shahrudin Abdullah berkata, dalam kejadian pertama di KM 5 Jalan Sitiawan-Ipoh dekat sini, sepasang suami isteri maut apabila motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 8 malam apabila motosikal Honda C70 yang ditunggang M.Ganesan, 46, dan isterinya R.Indera Gandthi, 45, dari arah Ipoh menghala ke Seri Manjung, cuba membuat pusingan U di jalan itu.

Katanya, sebuah kereta Proton Waja merempuh motosikal itu selepas ia tidak sempat mengelak dan rempuhan itu menyebabkan Ganesan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala kaki kirinya terputus.

"Isteri Ganesan pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan patah kaki kiri. Mayat kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian kedua di Gerik dua beradik terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah lori di KM 3.5 Jalan Gerik-Pengkalan Hulu tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Mahad Nor Abdullah berkata, yang terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu ialah pemandu kereta, Zulfahmi Mohd Fadilah, 25, dan adik perempuannya Nur Izzati, 21.

Zulfahmi yang bekerja sebagai juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala adiknya yang juga cedera parah di kepala meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Gerik.

Katanya, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Zulfahmi dalam perjalanan pulang kerumah mereka di Gerik terbabas lalu merempuh belakang sebuah lori yang diletakan di tepi jalan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain