suria

Empat Kematian Akibat Denggi Dilaporkan

KUALA LUMPUR: Empat kematian akibat demam denggi dilaporkan daripada jumlah 919 kes yang dicatatkan bagi tempoh 6 hingga 12 Disember.

Ia adalah peningkatan sebanyak 135 kes atau 17 peratus berbanding 784 kes dengan satu kematian bagi minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Katanya, peningkatan bilangan kes itu disumbangkan Selangor dengan 302 kes dan Sarawak dengan 298 kes.

Sebanyak lapan negeri telah menunjukkan peningkatan kes denggi iaitu Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Johor dan Sarawak.

Dr Ismail berkata, jumlah terkumpul kes denggi pada tahun 2009 adalah 38,981 kes dengan 89 kematian, penurunan sebanyak 12 peratus berbanding 44,494 kes dengan 98 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2008.

Mengenai penyakit Chikungunya, beliau berkata, bilangannya juga mencatatkan peningkatan kepada 189 kes berbanding 140 kes pada minggu sebelumnya.

Menurut beliau, Sarawak menjadi penyumbang tertinggi iaitu 99 peratus daripada bilangan kes yang dilaporkan seluruh negara pada minggu tersebut.

Jumlah terkumpul kes Chikungunya pada tahun ini adalah sebanyak 5,233 kes berbanding 4,271 kes pada tempoh yang sama.

Tiada kematian berkaitan penyakit Chikungunya dilaporkan sehingga kini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain