suria

Bekas Pelajar Dihukum Gantung Bunuh Pensyarah

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang didapati bersalah bulan lepas bersama dua yang lain kerana membunuh bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bakarudin Busu, tujuh tahun yang lalu, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada 13 November lalu, seorang eksekutif jualan dan seorang pemandu forklift dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi yang sama setelah mereka didapati bersalah membunuh bekas pensyarah itu.

Pada hari yang sama, Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee turut menyabitkan Azizul Aznal Mohamad Jailani, 26, dan menetapkan hari ini untuk mendengar laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman kerana pada tarikh kejadian bekas pelajar berkenaan hanya berumur 18 tahun dan dua bulan.

Ketika menjatuhkan hukuman hari ini, Muhamad Ideres memberitahu tertuduh bahawa beliau akan dibawa ke satu penjara yang sah dan dihukum gantung sampai mati.

Muhamad Ideres sebelum itu telah menangguhkan prosiding setelah Peguam Azizul Aznal, Mohd Hanif Khatri Abdulla, meminta mahkamah menggunakan kuasa penyeliaannya agar tertuduh terus berada di Penjara Sungai Buloh dan tidak dihantar ke Penjara Kajang sementara menunggu rayuan.

Mohd Hanif berkata, anak guamnya risau tentang keselamatannya kerana dua lagi tertuduh yang disabitkan dengan tuduhan itu, Sulkarnain Alias, 32, dan Noorman Ab Wahab, 31, kini dipenjarakan di Kajang.

"Ketika Azizul membuat pembelaannya beliau telah memberikan keterangan terhadap kedua-dua mereka dan kini risau tentang keselamatannya," kata Mohd Hanif.

Muhamad Ideres tidak membuat sebarang perintah mengenai isu setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail memmberitahu mahkamah bahawa beliau telah menyemak perkara tersebut dengan Pengarah Penjara Sungai Buloh Narendar Singh yang memaklumkan bahawa penjara berkenaan telah digazetkan untuk mereka yang masih berada di bawah tahanan reman.

Bekas pelajar UiTM, Siti Rahmah Azman Subramaniam, 28, turut didakwa dengan pertuduhan membunuh Bakarudin tetapi dibebaskan selepas pihak pendakwaan menawarkannya sebagai saksi utama. Siti Rahmah merupakan teman wanita Sulkarnain.

Mereka dituduh membunuh Bakarudin, 35, di Jalan SS19/6, Subang Jaya, pada 9.30 malam 12 Feb 2002. Mayat Bakarudin dijumpai separuh rentung dalam longkang di Subang Jaya.

Mengikut laporan akhlak, Azizul Aznal merupakan seorang remaja yang peramah dan mempunyai ramai rakan. Pada hari kejadian dia mendakwa hanya mengikuti Sulkarnain yang merupakan rakan karib abangnya.

Ketika rayuan, Mohd Hanif berkata, tertuduh percaya sebulat-bulatnya kepada rakan abangnya.

"Walaupun ketika kejadian tertuduh hanya berumur 18 tahun dan dua bulan, kesalahan tetap kesalahan dan tidak ada seorangpun boleh membatasi undang-undang," kata Mohd Nordin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain