suria

Bancian Miskin Tegar Pulau Pinang Diketahui Awal Tahun Depan

BUTTERWORTH: Bancian Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai jumlah keluarga miskin tegar di Pulau Pinang akan diketahui awal tahun depan, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Azhar Ibrahim.

Beliau berkata, ketika ini jabatan itu sedang menjalankan bancian semula dari rumah ke rumah yang telah berlangsung sejak tiga bulan lepas.

"Jumlah tidak rasmi yang diterima sehingga November tahun ini menunjukkan bahawa keluarga miskin tegar telah meningkat kepada 697 daripada 494 pada tahun 2008.

"Rasanya jika siap sepenuhnya bancian itu nanti, jumlah keluarga miskin tegar ini akan terus meningkat, bagaimana kerajaan negeri boleh kata miskin tegar telah berjaya dihapuskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azhar berkata, jumlah keluarga miskin tegar itu semakin meningkat sejak pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada Mac 2008.

"Pada pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) jumlah miskin tegar di Pulau Pinang adalah yang paling rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, tetapi tidak pada ketika ini jumlahnya semakin meningkat," katanya.

Selain itu, Azhar turut mengingatkan pemimpin kerajaan negeri hari ini supaya tidak mempolitikkan isu miskin tegar yang kononnya telah berjaya dihapuskan.

Azhar berkata, Perda juga telah membelanjakan sebanyak RM11.2 juta dalam RMK-9 untuk pembiayaan pelbagai program bagi membantu golongan miskin tegar yang telah bermula sejak RMK-6.

"Selain memberi bantuan kewangan, Perda turut menyediakan pelbagai program bagi membolehkan golongan miskin ini berdikari dan berusaha untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Pada April lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah berjaya menghapuskan miskin tegar dalam tempoh setahun pentadbirannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain