suria

Sambutan Maal Hijrah Di PICC Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah akan merasmikan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1431H/2009M bertema "Memantapkan Ukhuwah, Memperkasakan Ummah" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Jumaat ini.

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tema itu bertepatan dengan usaha kerajaan untuk membina masyarakat bersatu padu berasaskan konsep 1Malaysia dengan membina perpaduan dan kekuatan bagi mencapai kegemilangan ummah berdaya saing dalam berhadapan arus globalisasi serta kemajuan sains dan teknologi masa kini.

Selain itu, kemuncak sambutan anjuran Jakim itu ialah pengumuman penerima dua anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kolongan tokoh Malaysia dan luar negara.

Penerima anugerah itu mempunyai pengetahuan luas dan mendalam tentang Islam, mempunyai sifat dan peribadi yang unggul serta telah memberi sumbangan dalam perkembangan syiar Islam dan juga pembangunan ummah.

Mereka masing-masing akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM100,000, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan.

Sehingga 2008, seramai 19 orang dari pelbagai latar belakang dan kerjaya dikurniakan Anugerah Tokoh Maal Hijrah.

Kerajaan menganjurkan majlis itu setiap tahun sebagai usaha berterusan dalam menggalakkan umat Islam memperingati tahun baru Islam melalui sejarah dan peristiwa besar iaitu penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah.

Menurut kenyataan itu, beberapa acara sambutan peringkat kebangsaan sempena sambutan itu akan diadakan termasuk Forum Khas Maal Hijrah yang menampilkan ahli panel, Ustaz Farid Ravi Abdullah dan Ustaz Badli Shah Alaudin di Masjid Negara pada Khamis.

Selain itu, aktiviti ceramah, gotong-royong, pertandingan nasyid, lawatan ke perkampungan Orang Asli, hospital, rumah anak yatim, program bersama orang kurang upaya (OKU) serta pameran Minggu Hijrah juga akan diadakan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain