suria

Pengguna Dinasihatkan Patuhi Peraturan Keselamatan

KUALA LUMPUR: Kebakaran melibatkan dua kereta di Stesen Petronas Bandar Indera Mahkota di Kuantan semalam mengakibatkan kecederaan ringan terhadap pemandu kereta berkenaan.

Kenyataan dari Petronas Dagangan Berhad hari ini menjelaskan bahawa kemalangan pada kira-kira jam 9.15 pagi itu berlaku di pam stesen itu dan api segera dipadamkan oleh kakitangannya.

Pemandu kereta pertama cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar di Hospital Besar Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sementara penumpang kereta kedua masih di bawah perhatian di hospital itu.

Pihak berkuasa dan wakil Petronas Dagangan ketika itu berada di tempat kejadian untuk membantu dan menjalankan siasatan lanjut tentang sebab kejadian tersebut. Stesen itu kini ditutup sementara, kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Petronas Dagangan Berhad menasihatkan pelanggan mematuhi peraturan keselamatan di semua stesennya yang melarang keras penggunaan telefon bimbit, merokok dan membiarkan enjin hidup semasa mengisi minyak.

"Kami ingin menegaskan bahawa kami menganggap keselamatan pelanggan, pekerja, kontraktor dan orang awam sebagai amat penting di semua kawasan operasi kami," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain