suria

Pembangkang Memang Bijak Beri Gelaran - Mufti Perak

PETALING JAYA: Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menyifatkan pemimpin pembangkang 'bijak' memberi gelaran tertentu kepada mana-mana individu yang dilihat bertentangan dengan perjuangan mereka.

Harussani berkata, beliau tidak kisah diberi bermacam-macam gelaran demi menegakkan kebenaran dan keadilan tanpa mengira agama atau kaum.

"Gelarlah apa sahaja, saya tak kisah. mufti Umno, mufti PKR (Parti Keadilan Rakyat), mufti MIC? mufti MCA pun tak apa, yang penting teguran saya, kritikan saya ialah untuk kebaikan semua pihak.

"Mereka memang cekap bagi gelaran-gelaran macam ini," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad bahawa Harussani lebih cenderung membela Umno apabila menuduh pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu mempersoalkan kedudukan raja-raja Melayu dan Islam.

Idris dilaporkan turut mengecam Harussani kerana gagal memberikan pandangan hukum terhadap tragedi rampasan kuasa yang dilakukan oleh pemimpin Umno di Perak, sebaliknya hanya bercakap mengenai kepentingan parti itu sahaja.

Dakwaam Idris itu juga adalah reaksi kepada kenyataan Harussani yang mendakwa tindakan beberapa pemimpin pembangkang mempersoalkan kedudukan raja-raja Melayu dan agama Islam yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan berlaku sekiranya orang Melayu bersatu.

Dalam pada itu, Harussani bagaimanapun tetap mempertahankan kenyataannya itu kerana baginya konsep penyatuan itu perlu terus diamalkan oleh orang Melayu.

"Apa yang salahnya kenyataan saya itu? Saya cakap berdasarkan fakta yang berlaku di depan mata.

"Orang-orang Melayu perlu bersatu bagi mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu dan agama Islam," katanya.

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain