suria

Pamer Laporan NKRA Bukan Gimik

KUALA LUMPUR: Keputusan mempamerkan laporan terperinci enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk dinilai oleh rakyat bukan satu gimik sebaliknya menunjukkan ketelusan kerajaan bagi memperbaiki mutu perkhidmatan seperti yang disasarkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, langkah itu amat bertepatan bagi membuktikan ketelusan kerajaan.

"Ini bukan gimik, kalau gimik kita tak tayang, kita cakap sahaja... retorik.

"Tapi kita tayang dan tunjukkan apa yang telah kita buat, kejayaan serta hasil yang kita bincangkan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan untuk mempamerkan semua dokumen berkenaan kepada wakil badan bukan kerajaan (NGO) pada Khamis dan kepada orang ramai Jumaat ini di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini.

April lepas Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memperkenalkan pendekatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memantau prestasi dan pencapaian anggota Kabinetnya sebagai melambangkan pembaharuan serta pendekatan kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan mendahulukan rakyat.

Berikutan itu, Perdana Menteri melantik enam menteri kanan menerajui enam NKRA bagi mencapai matlamat indeks KPI secara lebih berkesan.

Enam teras NKRA ialah bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Dalam pada itu, Ahmad mencadangkan supaya domuken-dokumen berkenaan turut dipamerkan di setiap negeri bagi memudahkan rakyat membuat penilaian.

"Saya nak cadangkan (pameran) turut dibuat di negeri-negeri, kalau boleh masukkan juga dalam laman-laman web tertentu, ini satu kaedah (memudahkan rakyat)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menyambut baik langkah itu walaupun mengakui turut berasa gementar menunggu maklum balas rakyat berhubung hasil pencapaian NKRA itu.

"Berdebar juga kerana ini melibatkan rakyat, bagaimanapun kita cuba lakukan yang terbaik.

"Sekiranya memenuhi kehendak Perdana Menteri iaitu bagi menepati citarasa dan aspirasi rakyat, tapi jika tidak, kita perlu tingkatkan prestasi," katanya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Kah Siong pula berkata, tindakan kerajaan itu sangat dinantikan oleh rakyat.

"Ini adalah konsep keterbukaan yang diamalkan oleh Perdana Menteri yang ditunggu oleh rakyat, mereka ingin sangat menyertai dan melihat prestasi yang dikatakan NKRA... sama ada mencapai sasaran ataupun tidak.

"Ini juga merupakan proses ke arah mengamalkan pelaksanaan dasar yang lebih telus mengikut selera rakyat," katanya.

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain