suria

Kerajaan Negeri Sembilan Tumpu program Sejahterakan Rakyat Tahun Depan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menumpukan kepada program mensejahterakan rakyat pada tahun depan di samping bersungguh-sungguh untuk memaju dan membangunkan negeri itu, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, dalam masa yang sama kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan isu-isu seperti isu alam sekitar dan isu yang boleh memudaratkan orang ramai. "Kita menjalankan pentadbiran dengan mengambil kira pelbagai aspek supaya kita dapat melihat suatu keadaan di mana pembangunan dijalankan dengan terbaik mungkin dan memberi faedah kepada orang ramai.

"Kita harap tahun 2010 kita akan dapat meneruskan sentimen 'good feeling' yang dirasai di kalangan rakyat negeri ini pada tahun ini supaya kita akan dapat mencapai kejayaan demi kejayaan dan ia akan dapat mendatangkan kesejahteraan rakyat," katanya.

Mengulas mengenai pencapaian Negeri Sembilan pada tahun ini, Mohamad berkata, beliau amat berpuas hati dan merasa suka cita dengan pencapaian yang telah dicapai sepanjang tahun ini di mana ia telah dapat mengambarkan bahawa kerajaan negeri telah dapat mencapai matlamatnya.

"Cuma dari segi pelaburan saja yang kita tidak dapat mencapai sasaran. Ini bagaimanapun bukan di atas sebab kelemahan kita tetapi adalah disebabkan oleh iklim pelaburan yang memang tidak menggalakkan di seluruh dunia.

"Tetapi pencapaian kita dalam kita melaksanakan program dan juga rancangan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), semua dapat dijalankan dengan baik dan tidak ada satu pun projek yang kita jatuhkan sebagai kategori yang tenat. Kita mahu melihat supaya ini akan dapat kita teruskan pada tahun depan," katanya.

Ditanya mengenai sasaran tahun depan, Mohamad yang mengambil alih jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada tahun 2004 berkata, beliau masih lagi berbincang dengan pihak pentadbiran kerajaan negeri dan anggota Exco untuk meneruskan apa yang telah dirancang.

"Apa yang kita rancang, kita akan teruskan. Kita tidak akan ada perubahan besar dari segi dasar, tapi dari segi pelaksanaan tahun 2010 kita akan lebih berfokus lagi. Dasardasar yang kita buat tersebut sedang berjalan sekarang dan kita nak buatkan postmortem di mana jika dalam pelaksanaannya terdapat kelemahannya, kita akan perbaiki supaya lebih berkesan," katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri memberi jaminan tetap akan menumpukan pelaksanaan pembangunan di kawasan dikuasai pembangkang pada tahun depan tanpa sentimen 'membeza-bezakan kawasan'.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan membuat dasar hanya disebabkan kawasan itu dikuasai pembangkang kerana mahu membangunkan Negeri Sembilan atas kepentingan umum.

"Kita tidak ada membeza-beza mahu pun membahagikan kawasan. Kita membangunkan negeri untuk kesejahteraan semua rakyat supaya pembangunan ini dapat dijalankan dengan terbaik mungkin. Kita nak lihat supaya Negeri Sembilan ini dibangunkan secara seimbang," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain