suria

Kedah, Thailand Sedia Jalin Kerjasama

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah dan Thailand bersetuju meningkatkan hubungan dan memantapkan kerjasama untuk mengukuhkan bidang pelancongan, pendidikan dan hab halal.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Azizan Abdul Razak berkata, kerjasama itu penting kerana akan mengukuhkan lagi kerjasama dan hubungan sedia terjalin antara kedua-dua pihak sejak sekian lama.

"Kerajaan Kedah akan membantu pelajar Islam di Selatan Thailand melanjutkan pengajian di negeri ini termasuk di Universiti Utara Malaysia (UUM)," katanya selepas mesyuarat bersama delegasi Thailand yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Thailand, Alongkorn Ponlaboot di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Kedah juga bersedia membantu Thailand meluaskan pasaran hab halal meliputi masyarakat Thailand yang beragama Islam.

"Produk halal mendapat permintaan yang tinggi di Thailand. Kita akan bantu memasarkan produk halal ke negara itu untuk keperluan masyarakat Islam di sana dan juga pelancong Islam yang mengunjungi Thailand," katanya.

Azizan berkata, Kedah bersetuju dengan hasrat kerajaan Thailand menggunakan Langkawi bagi mempromosikan Satun sebagai pusat pelancongan di Thailand yang berhampiran dengan pulau legenda Mahsuri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain