suria

Kastam Lupus Rokok Seludup Bernilai Hampir RM4 Juta

PETALING JAYA: Rokok putih dan rokok kretek seludup bernilai hampir RM4 juta yang dirampas dalam dua kes dilupuskan di Kompleks Kastam Wilayah Kuala Lumpur di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Pencegahan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kuala Lumpur, Ajib Busro berkata, rokok seberat 27,855 kilogram itu bernilai RM3.72 juta dan duti kastam tidak dibayar RM9.2 juta.

Menurut beliau, bagi tempoh Januari hingga 31 November tahun ini, sejumlah rokok putih dan kretek bernilai RM11.32 juta yang melibatkan duti kastam berjumlah RM34.58 juta telah dirampas.

"Bahagian penguatkuasaan juga merampas pelbagai dagangan bernilai RM30,101,135.84 yang melibatkan cukai kastam RM2,365,680.86. Selain rokok, lain-lain barang yang disita ialah kenderaan, minuman keras serta mercun dan bunga api," katanya.

Ajib berkata, bagi tempoh yang sama, KDRM Kuala Lumpur berjaya memungut kembali cukai RM2.89 juta dan RM518,000 denda kompaun.

Beliau meminta orang ramai untuk terus memberikan kerjasama di dalam usaha untuk membanteras penyeludupan dengan menyalurkan maklumat di talian bebas tol 1800888855.

Sementara itu, Ajib berkata pihaknya sedang mengesan seorang lelaki, Abdul Rashid Hussin, 28, yang beralamat terakhir di No 28 Jalan Melikai, Kampung Raja Uda, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor, bagi membantu siasatan melibatkan beberapa kontena berisi rokok seludup yang ditinggalkan di Pelabuhan Klang tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain