suria

Karpal

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Karpal Singh mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah bertindak mengaibkan dirinya sendiri serta institusi Parlimen apabila mengeluarkan kenyataan menyamakan perkhidmatan teksi dengan tandas.

Karpal berkata, Mohamed Nazri sebagai menteri sepatutnya bertindak dan bercakap dengan lebih matang.

"Saya menasihati Nazri supaya berfikir sebelum bercakap, bukan sebaliknya.

"Nazri perlu belajar untuk bercakap dan bertindak dengan matang, beliau telah mengaibkan bukan sahaja pada dirinya sendiri tetapi juga Parlimen," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Karpal berkata demikian sebagai mengulas mengenai beberapa gesaan dan protes oleh Persatuan Usahawan Pemilik Teksi Eksekutif Malaysia (PUPTeKSM) dan Persatuan Pemilik Teksi Kuala Lumpur dan Selangor agar Mohamed Nazri menarik balik kenyataan beliau.

Persatuan-persatuan berkenaan juga menuntut agar Mohamed Nazri mengemukakan permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan tersebut.

Baru-baru ini Mohamed Nazri dilaporkan berkata, hasil kajian yang dibuat kepada pelancong yang datang ke Malaysia, perkara pertama yang tidak disukai oleh mereka ialah teksi dan ini menurutnya perkhidmatan berkenaan lebih teruk daripada tandas hingga menjejaskan nama negara.

Selain itu, Karpal juga memohon agar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengarahkan Mohamed Nazri membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Isu ini melibatkan kepentingan awam dan ia boleh mengelakkan berlakunya mogok di kalangan pemandu teksi seluruh negara," katanya.

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain