suria

Dua Lelaki Ditahan Miliki Dadah

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai pengedar dan penagih dadah ditahan di tepi jalan di Kampung Padang Balang, Setapak di sini petang semalam dan polis turut merampas dadah bernilai RM2,500 daripada mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, kedua-dua lelaki itu yang berumur dalam lingkungan 30an ditahan semasa sedang menunggu pelanggan dalam sebuah kereta di kawasan itu pada kira-kira jam 6.30 petang.

"Anggota Balai Polis Setapak yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu ternampak sebuah kereta yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.

"Selepas menunggu lebih 10 minit dan tiada pergerakan, anggota polis terus membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kereta itu, polis menemui sebuah beg hitam mengandungi dua ketulan mampat dipercayai ganja yang dibalut dengan plastik lutsinar seberat satu kilogram dan dianggarkan bernilai RM2,500.

"Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,825 yang dipercayai hasil jualan dadah," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kereta yang dinaiki kedua-dua lelaki yang dipercayai mengedar dadah di sekitar Sentul itu adalah milik kakak seorang daripada lelaki terbabit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain