suria

Dakwaan Rasuah Bermotif Politik: Liow

KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) mempercepat siasatan dan menyelesaikan segera tuduhan rasuah yang menyebabkan isterinya disoal siasat semalam.

Datin Seri Lee Sun Loo disoal siasat oleh MACC kerana dikatakan menerima sebuah Toyota Alphard bernilai RM500,000 sebagai hadiah hari jadinya dari sebuah syarikat yang telah memenangi tender Kementerian Kesihatan.

Liow, Menteri Kesihatan, mengecam dakwaan itu sebagai bermotif politik untuk memusnahkan beliau dan menyatakan rasa kecewa kerana penentangnya memilih untuk 'menyerang' anggota keluarganya pula.

"Saya cukup sedih kerana ia melibatkan keluarga saya. Jika sasarannya adalah saya dan mereka mahu menjejaskan saya, OK. Mengapa libatkan keluarga saya?

"Ini tidak adil kepada saya dan saya juga ingin mengetahui kebenaran dan adalah amat penting bagi saya membersihkan nama saya dan membuktikan saya tak bersalah dalam hal ini," katanya ketika selepas melawat Klinik Kampung Kerinchi 1Malaysia di sini hari ini.

Bila didesak seterusnya sama ada beliau tahu ini perbuatan orang dalam, beliau menjawab: "Saya tidak mahu membuat spekulasi".

Tentang usahanya untuk mendapatkan seramai lapan orang lagi anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA yang dipilih meletak jawatan untuk mencukupkan majoriti dua pertiga bagi memberi laluan kepada pemilihan baru parti, Liow berkata beliau yakin, tetapi beliau membisu tentang siapa yang sedang dilobi oleh puaknya untuk mengikuti jejak langkahnya.

Semalam, Liow dan 12 yang lain menyerahkan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Meng yang akan dianggap batal jika mereka tidak dapat mengemukakan 21 peletakan jawatan menjelang tarikh penamat 25 Dis.

Beliau menggesa anggota-anggota CC lain agar meletak jawatan bagi mengelakkan krisis parti terus meruncing.

"Saya harap mereka akan melihat ini sebagai satu tanggungjawab. Jika mereka menangguhkan sehari lagi, parti akan menerima kesan sehari lagi. Kita perlu menghentikan masalah ini dan selesaikannya menerusi pemilihan baru," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain