suria

Cubaan Seludup Sarang Burung Bernilai RM357,000 Ke Malaysia Tumpas

NEW DELHI: Pegawai Kastam Sri Lanka menahan dua warga negara berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike semalam ketika cuba menyeludup keluar sarang burung bernilai RM357,000 ke Malaysia.

Kedua-dua suspek itu dipercayai membawa 44 kilogram Wehilihiniya (sarang burung layang-layang Sri Lanka yang boleh dimakan) atau 15,000 sarang dalam tiga buah beg namun menjadi panik apabila melihat pegawai Kastam, menurut laporan akhbar Daily Mirror.

"Suspek terbabit yang memasuki lapangan terbang itu sedang duduk berhampiran pintu masuk. Mereka melarikan diri sebaik sahaja melihat kami, tetapi mereka ditahan oleh pegawai keselamatan dan pegawai Kastam," kata Mali Piyasena, Timbalan Pengarah Kastam kepada akhbar berkenaan. Kedua-dua suspek berkenaan ditahan reman sehingga 29 Dis ini.

Menurut Jabatan Kastam, seorang daripada suspek itu ditahan Ogos lepas ketika cuba menyeludup keluar 38 kilogram sarang burung Wehilihiniya bernilai hampir RM300,000.

Dia bagaimanapun didenda dan kemudian dibebaskan.

Ini merupakan insiden kedua dalam masa beberapa bulan apabila cubaan menyeludup keluar sarang burung dari negara ini ke beberapa ibu negara di Asia Tenggara ditumpaskan.

Ogos lepas, Kastam di lapangan terbang yang sama merampas 35 kilogram sarang burung spesies Colocalia bernilai kira-kira RM200,000 yang akan dibawa ke Bangkok. Seorang warga Sri Lanka ditahan berkaitan kesalahan itu.

Spesies burung ini berdepan masalah kepupusan di negara pulau ini dan eksport atau penyeludupan sarang burung seperti itu dilarang mengikut Ordinan Perlindungan Flora dan Fauna Sri Lanka 1937.

Sarang burung mendapat permintaan menggalakkan di beberapa negara di Asia Tenggara, yang digunakan untuk menghasilkan ubat tradisional atau disajikan sebagai makanan eksotik di restoran.

Di Hong Kong, semangkuk sup sarang burung dengan mudah boleh mencecah harga kira-kira US$60 (RM210). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain