suria

Wanita Hamil Melecur Disambar Api Di Stesen Minyak

KUANTAN: Seorang wanita yang hamil empat bulan melecur selepas kereta dipandunya disambar api ketika berhenti untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Abdullah, Bandar Indera Mahkota di sini, hari ini.

Mangsa, Noraini A. Malik, 26, yang mengandung anak pertama, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan akibat melecur di bahagian muka, tangan kiri dan kaki selain rambutnya turut terbakar.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Iskandar Jamaludin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 9.12 pagi tadi mengenai kebakaran di salah satu pam minyak di stesen itu.

Bagaimanapun katanya, bomba yang tiba seminit kemudian mendapati api telah pun dipadamkan oleh pekerja stesen minyak tersebut.

"Namun, kami mengarahkan pekerja stesen itu supaya menutup semua alat elektrik demi keselamatan orang ramai," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, suami mangsa, Faizal Hassan, 32, yang turut berada di dalam kenderaan itu berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan kakak iparnya sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Indera Mahkota 14 dari Klinik Desa Indera Mahkota 5 sebelum singgah untuk mengisi bahan api kenderaannya.

"Ketika saya baru menekan picu nozel, tiba-tiba api datang dari bawah kereta," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini.

Katanya, isteri dan kakak iparnya kemudian bergegas keluar daripada kereta jenis Perodua Myvi itu, namun api telah menyambar isterinya.

Kakak ipar Faizal bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain