suria

Tan Sri Dilarikan Di Pulau Pinang, Ditinggal Di Perak

PULAU PINANG: Seorang yang bergelar Tan Sri telah ditinggalkan di kawasan Semanggor, Perak selepas beliau disamun dan dilarikan oleh dua suspek di Lebuh Farquhar di sini semalam, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Supritendan Mohd Nashir Ya.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada pukul 4 petang ketika mangsa sedang menuju ke keretanya selepas menyelesaikan urusan di mahkamah yang terletak berdekatan.

"Dua suspek lelaki telah muncul secara tiba-tiba mendekatinya dan melarikan mangsa yang juga bekas pengarah sebuah hospital mental dengan kereta mewahnya," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa yang berusia 80 tahun itu dilarikan dalam kereta Mercedes Benz miliknya sebelum ditinggalkan di Semanggor, Perak.

Difahamkan mangsa telah dibawa membuat laporan di Balai Polis Semanggor yang terletak kira-kira tujuh kilometer daripada tempat kejadian sebelum membuat pemeriksaan dirinya di Hospital Taiping semalam.

Mohd Nashir berkata siasatan lanjut sedang giat dijalankan dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(a) Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain