suria

Semua Pihak Perlu Beri Perhatian Serius Tentang Penemuan Bom

KUALA TERENGGANU: Penemuan sejumlah bom buatan sendiri di sebuah rumah di kawasan terpencil di kawasan jajahan Pasir Mas semalam, harus dipandang serius oleh semua pihak termasuk parti politik pembangkang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kejadian itu menunjukkan Malaysia juga tidak terlepas dari ancaman keganasan dan meminta supaya pihak berkenaan tidak menganggapnya sebagai kejadian yang sengaja dibuat-buat.

"Jadi orang yang main politik kena faham dengan hal sedemikian, bahawa ancaman keselamatan bukan satu perkara yang dibuat-buat.

"Hari ini kita lihat sendiri di Pasir Mas wujud hal-hal sedemikian rupa. Jangan sampai kita ghairah sangat nak dapatkan kepentingan politik untuk jadi popular," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perhimpunan Pertahanan Awam Malaysia Peringkat Kebangsaan 2009 di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia Datuk Abdul Halim Abdul Hamid.

Hishammuddin mengulas mengenai penemuan sejumlah bom buatan sendiri dan penahanan tiga lelaki warga Thailand dalam satu serbuan di sebuah rumah di satu kawasan terpencil di Kampung Gebeng, Pasir Mas, Kelantan semalam.

Serbuan dilakukan pada jam 9 pagi oleh sepasukan polis yang turut disertai oleh anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Cawangan Khas.

Menurut Hishammuddin, serbuan itu dilakukan hasil maklumat yang diperoleh daripada kerjasama rapat pasukan keselamatan Malaysia dan Thailand dalam menangani keganasan selain penyeludupan dadah dan perdagangan manusia.

"Hubungan antara Cawangan Khas kita dengan Thailand cukup dekat dan rapat, kita nak memerangi hal ini dengan serius dan arahan yang saya turunkan beberapa bulan sebelum ini berkisar pada keganasan, penyeludupan dadah dan juga perdagangan manusia.

"Jadi itu dalam hal ini kita akan buat apa sahaja untuk mempastikan bahawa kalau ada maklumat, tindakan akan diambil tanpa bimbang kepada risiko ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya polis masih menyiasat lokasi sasaran letupan kumpulan terbabit.

"Kita masih siasat, tak kira sama ada nak letup di Kuala Lumpur, Terengganu, Johor, Singapura atau Thailand, nyawa tetap nyawa. Kita percaya perkara ini merupakan agenda yang perlu dikongsi bersama sebagai agenda antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, semua agensi di bawah kementeriannya juga diarah bergerak serius dan tiada kompromi terutama berhubung semua isu berkenaan untuk memastikan Malaysia terus aman tanpa sebarang ancaman.

Sementara itu, mengulas mengenai sindiket penjualan bayi yang berjaya ditumpaskan di Banting, Kajang, Klang dan Selangor baru-baru ini, Hishammuddin menyifatkan perkara itu sebagai serius dan isu perdagangan manusia itu perlu ditangani bersungguh-sungguh.

Hishammuddin berkata, isu itu juga turut disiasat dengan kerjasama negara jiran kerana ia merupakan isu yang merentasi sempadan.

Ia juga mengelakkan Malaysia dianggap sebagai negara transit jenayah antarabangsa, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain