suria

Rancangan Bekal Elektrik Dari Bakun Kekal

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, rancangan untuk membekalkan tenaga elektrik dari Empangan Hidroelektrik Bakun yang mampu menjana kapasiti 2,400 megawatt (MW), ke Semenanjung Malaysia pada 2015, kekal.

"Difahamkan, TNB akan dapat mengakses tenaga yang dijana oleh empangan hidro elektrik di Sarawak untuk dihantar ke Semenanjung Malaysia," kata Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie kepada pemberita selepas mesyuarat tahunan dengan pemegang saham di sini.

Moggie diminta mengulas keputusan baharu Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan Sarawak menggunakan kesemua tenaga dari Empangan Bakun untuk keperluan industri tempatan.

Minggu lepas, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dilaporkan sebagai berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju terhadap permintaan kerajaan negeri supaya tenaga daripada operasi awal empangan itu digunakan untuk industri di negeri berkenaan, terutama di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Yang nyata, sebahagian daripada tenaga yang dijana akan digunakan sepenuhnya oleh industri berat Sarawak, namun Sarawak berpotensi menghasilkan kapasiti yang lebih besar," kata Moggie.

Beliau berkata, kapasiti yang telah dikenal pasti untuk penghantaran ke Semenanjung Malaysia masih dalam jumlah kapasiti yang boleh dijana di Sarawak.

Menurut beliau, semua loji janakuasa hidroelektrik Sarawak mampu menghasilkan lebih daripada 20,000 MW tenaga. TNB merancang menghantar masing-masing 1,600 MW dan 800 MW pada 2015 dan 2017.

Laporan menyebut Sarawak akan melaksanakan projek empangan Murum yang mempunyai kapasiti menjana 900 MW tenaga selain empangan Limbang dengan keupayaan 160 MW, Baram 1,000 MW, Balleh 900 MW dan beberapa projek empangan yang lebih kecil di Bahagian Miri dan Limbang di wilayah utara.

Sarawak kini mengeluar 108 MW menerusi empangan hidro Batang Ai di Bahagian Sri Aman. Menjelang 2015, jumlah kapasiti hidro dijangka 5,000 MW dan pada 2020, sebanyak 9,000 MW.

"Ini tidak mengambil kira loji tenaga arang batu yang sedang dalam pembinaan. Kami merancang meneruskan pelan untuk menghantar tenaga ke Semenanjung dengan kabel pertama beroperasi untuk menghantar elektrik pada 2015 dan kabel kedua pada 2017.

"Berdasarkan kedudukan ini, perancangan masih berjalan. Bagi kami, akses terhadap kapasiti tenaga elektrik dari Sarawak sangat penting.

"Jika kami tidak mempunyai akses itu, Semenanjung perlu menggunakan sumber bahan api lain dan berkemungkinan menggunakan lebih banyak tenaga menggunakan arang batu," katanya.

Kata beliau, kosnya lebih tinggi memandangkan arang baru tertakluk kepada harga pasaran antarabangsa.

"Kesediaan memperoleh arang batu pada masa yang tepat juga semakin mencabar memandangkan permintaan dari negara lain turut meningkat," katanya.

Moggie berkata tahun lepas, TNB dan Sarawak Energy Berhad menandatangani perjanjian untuk membangunkan kapasiti penjanaan elektrik dalam tempoh tertentu,

Mengikut perjanjian itu, Sarawak Energy akan menjual 3,000MW kepada TNB mulai 2017 hingga 2020, dan bekalan akan ditambah sebanyak 5,000 MW lagi mulai 2021 hingga 2030. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain