suria

Peragut Dihukum Penjara 15 Tahun Dan 10 Sebatan

JOHOR BAHARU: Penganggur Mohd Ariffin Anang, yang menyebabkan kematian seorang ibu mengandung semasa tindakannya meragut wanita itu Mei lepas dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat di sini, hari ini.

Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun bagi kesalahan pertama dan penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan kedua dengan kedua-dua hukuman itu berjalan secara serentak bermula tarikh dia ditangkap iaitu pada 6 Mei lalu sebaik Mohd Ariffin, 25, mengubah pengakuannya kepada bersalah secara tiba-tiba petang semalam.

Mohd Ariffin sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kematian Jamilah Selamat, 32, yang mengandung dua bulan, di hadapan rumah no 24 Jalan Kaloi, Taman Air Hitam , Batu Pahat kira-kira pukul 7.15 malam, 3 Mei lalu.

Dia juga didakwa pada masa dan tempat yang sama, menyebabkan cedera kepada mangsa ketika merompak harta Jamilah iaitu antaranya beg tangan, telefon bimbit dan dompet.

Tertuduh yang berada di kandang tertuduh kelihatan bersahaja apabila memberitahu peguambelanya, Ng Lam Hua yang dia mahu mengubah pengakuannya selepas pihak pendakwaan selesai melakukan pemeriksaan utama ke atas saksi ke-16, DSP Che Mahazan Che Aik.

Bagi kesalahan pertama, Mohd Ariffin didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 394 kanun yang sama, membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebatan.

Ketika penghakiman, Mohd Haldar berkata, beliau bersetuju dengan pihak pendakwaan yang menyatakan akibat kejadian itu anak-anak mangsa hilang tempat bergantung malah seorang bayi tidak sempat melihat dunia.

Malah katanya, kejadian ragut kini semakin berleluasa hingga ada di antaranya menyebabkan kematian dan beliau perlu menjatuhkan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada orang lain.

Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman secara berasingan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan katanya kesalahan yang dilakukan ini hanyalah sebahagian daripada kes ragut yang dilakukan tertuduh.

Idham berkata, alasan peguam supaya hukuman diringankan ekoran tertuduh telah insaf tidak wajar diambil kira.

Ketika prosiding, peguam Ng merayu anak guamnya dijatuhi hukuman ringan kerana dia perlu menyara kedua ibu bapa yang telah tua serta insaf atas apa yang telah dilakukannya.

Katanya, Mohd Ariffin mempunyai beberapa kes ragut lain yang sedang dibicarakan di mahkamah di sini dan tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan kes yang sama iaitu ragut tetapi melibatkan mangsa yang lain.

Mengikut fakta kes ketika kejadian, Jamilah, seorang jurujual, diragut ketika sedang menaiki motosikal untuk ke tempat kerja dan mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di tepi jalan ekoran mengalami kecederaan teruk di kepala.

Mangsa meninggalkan dua orang anak kandung dan dua anak tiri, dan semasa kejadian Jamilah dan suaminya, Razali Ahmad baru sahaja berkahwin beberapa bulan.

Turut membantu Idham ialah Timbalan Pendakwa Raya Azizan Arshad dan Lailawati Ali. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain