suria

Negara Asean Berganding Bahu Jadi pengeluar Produk Pertahanan

KUALA LUMPUR: Malaysia akan berganding bahu dan berkongsi idea dengan negara rantau Asean lain dalam usaha membangunkan rantau ini sebagai pengeluar dan pengeksport produk pertahanan utama dunia pada masa depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jalinan kerjasama yang sedia terjalin antara negara Asean dengan syarikat pengeluar di Barat membolehkan proses pemindahan teknologi dan kepakaran dilakukan dengan mudah.

"Apabila kita (Asean) menggunakan produk keluaran sendiri, produk itu boleh digunakan sesama Asean. Contohnya kita (Malaysia) dan Thailand mengeluarkan produk peluru, pengeluaran itu boleh dilakukan dengan usaha sama dengan negara Asean lain termasuk Laos, Myanmar, Brunei mahu pun Singapura," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kilang Syarikat SME Ordnance Sdn Bhd (SMEO) di Batu Arang, dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, masanya telah tiba bagi negara Asean tidak lagi menjadi 'bakul sampah' atau tapak pelupusan bagi produk pertahanan yang dikeluarkan oleh negara Eropah dan Amerika.

"Kita tak mahu lagi jadi 'dumping ground' produk keluaran negara Barat dari segi pemindahan teknologi dan aset pertahanan negara lain termasuk latihan. Kita patut memperlihatkan aktiviti peralatan senjata di Malaysia," katanya.

Menurutnya, kos pembelian aset antara negara serantau dapat dikurangkan untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan boleh digunakan kepada kementerian lain seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menjaga keselamatan negara.

"Penubuhan satu badan pembelian senjata antara negara Asean dapat kita wujudkan dan selain kos dapat dikurangkan, peralatan yang sama itu dapat digunakan oleh kementerian lain untuk menyokong industri tempatan," katanya.

Beliau berkata, usahasama dan kesungguhan Syarikat SMEO menambahkan pasaran sehingga menghasilkan 14,000 raifel M4 Carbine untuk kegunaan unit-unit di dalam ATM menampakkan usaha ke arah itu.

SMEO diberikan kebenaran oleh syarikat pencipta M4 Carbine, Colt Defence LLC dari Amerika Syarikat untuk menghasilkan raifel yang mempunyai kaliber 5.56mm itu di dalam negara.

Terdahulu, Ahmad Zahid memberi sumbangan sejumlah RM3,000 kepada tiga beradik yang kehilangan ibu bapanya akibat kemalangan jalan raya pada tujuh tahun lepas dan RM500 kepada enam ibu tunggal yang bekerja di syarikat SMEO.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain