suria

Menteri KPI Diminta Perbaiki Respon Kerajaan

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Dewan Negara hari ini mahu menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap Indeks Prestasi Utama (KPI) agar memperbaiki sistem penyampaian dan respon kerajaan terhadap segala rintihan rakyat.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon harus kembali kepada asas yang diharapkan oleh rakyat kerana rakyat masih lagi merintih memandangkan respon dari jentera kerajaan termasuk menteri masih lagi tidak begitu nampak kemajuannya," kata Senator Datuk Akbar Ali ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010.

Akbar memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa, komited, serius dan membuat pemantauan terhadap apa yang dicadangkan.

"KPI ini menunjukkan bahawa Najib jauh lebih baik, beliau sentiasa monitor apa yang disarankan atau dicadangkan, tetapi dalam sorak-sorai, tepuk gemuruh dan memuji melambung-lambung, kita kena kembali ke realiti hidup," katanya.

Akbar turut mencadangkan agar Pekeliling Bilangan 10 Tahun 2002 berhubung kemudahan cuti disebabkan kematian anggota keluarga terdekat dipinda.

Beliau mahu kemudahan cuti tiga hari yang diberi majikan terhadap kakitangan kerajaan yang kematian anggota keluarga diperluaskan kepada keluarga tiri, angkat, mertua serta datuk dan nenek. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain