suria

Masterskill Sumbang RM153,000 Kepada Keluarga Tiga Pelajar Maut Dalam Kemalangan

PUTRAJAYA: Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill menyampaikan wang insurans sebanyak RM153,000 kepada ahli-ahli keluarga tiga pelajar termasuk dua yang maut dihempap kereta di kompleks membeli-belah di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Disember lalu.

Dua pelajar kolej itu, Siti Nuramira Shamsudin, 19, dan Siti Nurdiana Azman, 18, terkorban dalam tragedi kereta terjunam dari tempat letak kereta terbabit.

Kolej itu turut menderma kepada seorang pelajar, Mazlizatul Akmar Muhammad, 23, yang terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 39 Jalan Kuantan-Kemaman, Pahang pada November lepas.

Setiap mangsa diberikan RM51,000 hasil perlindungan insurans berkelompok daripada institusi pengajian masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan sumbangan berkenaan pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM184,000 daripada warga kementeriannya kepada pelajar yang terbabit dalam kejadian gempa bumi di Padang, Indonesia.

"Memandangkan kemalangan ini sesuatu yang tidak boleh kita jangkakan, saya harap semua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mempunyai insurans berkelompok untuk para pelajarnya.

"Ini untuk memastikan ahli-ahli keluarga mangsa menerima bantuan kewangan apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku," katanya.

Mohamed Khaled memberitahu, institusi pengajian tinggi awam kini mempunyai perlindungan insurans secara berkelompok.

"Saya lihat ia sesuatu yang wajar untuk IPTS menyediakan insurans berkelompok," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain