suria

Gunung Kinabalu Tersenarai Dalam Buku 'Guinness World Records’

KOTA KINABALU: Gunung Kinabalu di Sabah telah menempa nama dalam senarai ‘Guinness World Records’ (GWR) setelah disahkan mempunyai laluan gunung atau 'Via Ferrata' tertinggi di dunia. Timbalan Pengarah Sabah Parks, Dr Jamili Nais telah menerima sijil GWR daripada Pengarah Eksekutif Mountain Torq Sdn Bhd, Wilfred Tok, hari ini.

Penyampaian sijil itu disaksikan oleh Pengerusi Pelancongan Sabah, Datuk Tengku Zainal Adlin Tengku Mansor.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Mountain Torq Quek I-Gek berkata, ketinggian laluan ‘ferrata’ atau kenali sebagai ‘jalan besi’ dalam Bahasa Itali, mempunyai altitud 3,776 meter, iaitu 500 meter lebih tinggi daripada ketinggian laluan kedua tertinggi dunia, di Gunung Dolomites, Itali.

“Laluan ‘ferrata’ di Gunung Kinabalu merupakan laluan anak tangga diperbuat daripada keluli. Alat pemegang dan kabel laluan itu dibenamkan di atas permukaan batu Panar Laban yang terletak di gunung itu.

“Laluan sejauh 1.2 kilometer itu dibuka kepada orang ramai pada 15 Disember 2007 dan sejak itu, lebih 5,000 orang telah merentasi dua laluan tersebut termasuk sebuah jambatan kaki sepanjang 22 meter.

“Jambatan itu terletak 3,600 meter dari paras laut,” katanya.

Beliau berkata, GWR telah mengeluarkan pensijilan laluan ‘ferrata’ Gunung Kinabalu pada bulan Julai lalu.

“Ini adalah hasil usaha dan penyelidikan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah selama enam bulan.

“Walaupun terdapat lebih daripada 300 laluan itu di seluruh dunia, laluan di Gunung Kinabalu itu adalah satu-satunya di benua Asia," katanya.

Sementara itu, Tengku Zainal Adlin pula berkata, pensijilan pihak GWR akan mempromosikan Sabah di kalangan pengembara, terutamanya kepada yang sukakan cabaran dan eko-pelancongan.

“Kami bangga kerana Gunung Kinabalu dikategorikan sebagai Warisan Dunia pertama Malaysia.

“Kini rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Sabah boleh menepuk dada dan bermegah kerana rekod 'Guinness World Records' ini,” ujar Tengku Zainal Adlin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain