suria

3,000 Sukarelawan Digerakkan Lebih Awal Bantu Atasi Jenayah

KUALA TERENGGANU: Seramai 3,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah digerakkan lebih awal daripada sasaran tahun depan untuk membantu mengatasi masalah jenayah jalanan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Latihan terhadap anggota yang terlibat telah berjalan, dan saya harap semangat ini dapat diteruskan dan jabatan-jabatan lain di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mencontohi JPAM atas tranformasi yang ditunjukkan mereka," katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Pertahanan Awam Malaysia peringkat kebangsaan di sini hari ini.

KDN telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang penghujung tahun depan sebagai satu daripada Petunjuk Prestasi Utamanya di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Hishammuddin berkata, dalam masa tujuh bulan beliau menerajui kementerian itu, JPAM dilihat sebagai agensi yang paling proaktif dalam melakukan perubahan dan penambaikan termasuk daripada segi imej.

Menurutnya, langkah mengurangkan kadar jenayah di negara ini memerlukan kerjasama erat antara semua 12 agensi KDN.

Majlis perhimpunan di perkarangan Kompleks Stadium Gong Badak itu disertai oleh 1,700 anggota dan pegawai JPAM dari seluruh negara.

Pada majlis itu juga, pakaian seragam baru JPAM warna biru pelangi menggantikan seragam lama berwarna hijau tua, turut diperkenalkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain