suria

Tertuduh kes Bunuh Terlepas Dari Tali Gantung

KUALA LUMPUR: Seorang mekanik, yang menunggu hampir sembilan tahun untuk mengetahui keputusan sama ada beliau dihukum gantung atau sebaliknya, menarik nafas lega hari ini walaupun terpaksa terus berada di penjara apabila Mahkamah Tinggi di sini, hari ini meminda pertuduhan terhadapnya.

Anuar Isa Khan @ Mohamad Rizal Abdullah, 29, sebelum ini didakwa atas kesalahan membunuh seorang lelaki di sebuah pub tetapi Hakim Nalini Pathimanathan meminda pertuduhan itu kepada rompakan secara berkumpulan.

Nalini berkata mengikut saksi pendakwaan dan keterangan pembelaan tertuduh sendiri, tidak dapat dipastikan siapakah yang menembak Phua Kim Huat, 50, dan tiada bukti yang boleh mensabitkan Anuar bersalah dalam kesalahan membunuh.

Beliau yang membuat keputusan di akhir kes pembelaan itu mensabitkan Anuar Isa Khan dengan kesalahan rompakan secara berkumpulan dan memerintahkan tertuduh dipenjara selama 15 tahun dari tarikh tangkap pada 25 Mac 2000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Amity Pub and Cafe, No.192A, Kawasan 18, Jalan Kapar, Klang, Selangor pada 12.45 hingga 1.15 pagi, 25 Mac 2000 dan didakwa mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Dalam penghakimannya, Nalini berkata menerusi keterangan tertuduh, terdapat enam lelaki termasuk Anuar Isa Khan yang melakukan rompakan tetapi tertuduh tidak memegang sebarang senjata api selain sebilah parang.

"Ketika pembelaan, tertuduh berkata terdapat kekecohan apabila pelanggan di dalam pub (ketika itu terdapat 20 hingga 30 pelanggan) mula melawan hingga ada yang mengangkat kerusi dan seorang rakannya, Balakrisnan telah melepaskan tembakan ke syiling dalam empat hingga lima das, sambil berkata 'lepaskan saya punya kawan, kami tak nak duit, kami nak balik.

"Selepas tembakan itu, ada pelanggan yang lari ke dalam tandas tetapi ada seorang lelaki Cina yang enggan pergi dan terus memukul seorang lagi rakan tertuduh, Sasikumar dan kemudiannya Balakrisnan mengacukan pistol berhampiran lelaki itu dan minta lepaskan Sasikumar tetapi beliau enggan sambil berkata 'tembaklah'.

"Balakrisnan kemudian tembak pada bahagian badannya dan dia terjatuh. Tertuduh kata dia hanya memegang parang dan tidak mencederakan sesiapa. Dia tetap tegaskan tidak menggunakan pistol dan hanya Balakrisnan yang mempunyainya," kata Nalini. Dakwaan Anuar Isa Khan mengenai kejadian tembakan itu tidak dapat dirungkai berikutan kematian Balakrisnan yang ditembak setelah lari dari tahanan polis di Shah Alam.

Malah, kata Nalini, seorang saksi pendakwaan yang berada di tempat kejadian juga gagal mengecam siapa yang melepaskan tembakan ekoran keadaan lampu yang malap dan saksi itu berkata: "Enam orang perompak yang masuk. Kulit mereka semua hitam, hanya orang yang pakai cap, putih sikit, macam mamak dan berumur lebih kurang 20 hingga 30 tahun."

Sepanjang perbicaraan yang bermula 10 Mei 2004, pihak pendakwaan memanggil kira-kira 12 saksi manakala di peringkat pembelaan, hanya tertuduh memberi keterangan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Erwani Ismail dan tertuduh diwakili peguam Azizul Shariman Mat Yusoff. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain