suria

Sindiket Jual Bayi Tumpas, Lima Bayi Diselamatkan

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penjualan bayi yang beroperasi di Selangor sejak lima tahun lepas apabila menahan 13 orang dan menyelamatkan lima bayi serta seorang kanak-kanak perempuan dalam dua serbuan di Selangor baru-baru ini.

Lima bayi termasuk seorang bayi Orang Asli yang diselamatkan dalam serbuan di Banting pada 4 Disember dan di Klang pada 11 Disember itu berusia antara dua minggu dan sembilan bulan manakala kanak-kanak terbabit berusia tiga tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata mereka yang ditahan itu termasuk ketua sindiket, ejen dan pembeli berumur antara 30 dan 50 tahun.

"Polis turut menyelamatkan dua wanita rakyat Indonesia yang sarat mengandung.

Kedua-dua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres di Banting, polis menahan lapan orang termasuk seorang wanita, disyaki ketua sindiket itu yang digelar 'Auntie' dan menjaga wanita rakyat asing yang mengandung di rumah itu. "Di situ kami berjaya menyelamatkan seorang bayi, seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun serta dua wanita Indonesia yang sarat mengandung itu," katanya.

Mohd Bakri berkata siasatan awal polis mendapati wanita yang mengandung dan menjual bayi secara sukarela itu dijanjikan wang perubatan sebanyak RM5,000 bergantung kepada rupa dan kesihatan bayi berkenaan.

Wanita itu akan dibawa ke sebuah hospital di Klang untuk melahirkan bayi dan mendapatkan dokumentasi bagi bayi terbabit, dan bayi itu akan dijual kepada pasaran gelap tempatan dengan harga antara RM10,000 hingga RM15,000 bergantung kepada kulit, jantina dan keadaan bayi itu, katanya.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut, polis menjalankan operasi kedua di Klang dan menahan lima orang iaitu seorang ejen sindiket terbabit serta empat pembeli yang terdiri daripada seorang pekebun, pengarah syarikat, pensyarah dan pembantu akauntan.

"Dalam operasi itu, kami berjaya menyelamatkan empat lagi bayi termasuk bayi Orang Asli dan merampas beberapa telefon, dokumen jual beli dan salinan buku bank untuk transaksi," katanya. Beliau berkata berkata kesemua 13 orang itu ditahan reman bagi membantu siasatan, manakala lima bayi dan kanak-kanak perempuan itu diletakkan di bawah jagaan dan pemerhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam perkembangan lain, Mohd Bakri berkata seorang lagi anggota sindiket ceti haram atau Ah Long ditahan dalam serbuan di Bukit Perdana di sini minggu lepas.

Ogos lepas, sembilan anggota sindiket itu, termasuk seorang Datuk ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket yang mempunyai aset yang telah dibekukan sebanyak RM49 juta.

Bakri berkata lelaki ini dipercayai melarikan diri ke luar negara selepas rakannya ditahan polis dalam usaha menghapuskan kegiatan haram itu.

"Suspek kini ditahan di bawah Akta Pencegahan. Baki penganjur Ah Long ini masih diburu dan polis percaya sejauh mana mereka lari sekalipun termasuk ke luar negara pastinya akan dapat diberkas," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain