suria

Polis Buru Tiga Lelaki Guna Kad Kredit Palsu

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu sedang memburu tiga lelaki yang menyamar sebagai pelancong asing yang terbabit dengan penggunaan kad kredit klon di dua buah kedai di sini yang mengakibatkan kerugian lebih RM40,000. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri DSP Ab Rahim Ab Razak berkata kegiatan tiga lelaki berumur 30-an yang menjadikan sebuah kedai emas dan komputer sebagai sasaran sejak tiga hari lepas terbongkar setelah mangsa membuat laporan polis. "Kumpulan itu menggunakan kad kredit klon dari luar negara dan perbuatan itu disedari setelah pihak bank mendapati kad kredit berkenaan merupakan kad kredit klon.

"Pihak bank kemudian meminta peniaga kedai emas dan komputer berkenaan membuat laporan polis untuk mengesan tiga penjenayah terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian pertama Khamis lalu, kumpulan itu menggunakan kad kredit klon untuk membeli barang-barang kemas di sebuah kedai emas di Jalan Banggol bernilai hampir RM30,000. Semalam, katanya, kumpulan terbabit telah membeli empat buah komputer riba di sebuah kedai komputer di Jalan Petani menyebabkan kerugian mencecah RM10,000.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya segera menghubungi pihak polis jika didatangi oleh mereka yang hendak menjual barang kemas atau komputer dengan harga murah.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain