suria

Peletakan Jawatan Sulaiman Sebagai Timbalan Menteri Pelancongan Berkuatkuasa Hari Ini - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju menerima peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib sebagai Timbalan Menteri Pelancongan atas alasan peribadi berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi Barisan Nasional Negeri.

Bagaimanapun katanya, Sulaiman akan terus kekal sebagai Ahli Parlimen Kota Samarahan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Seri Sulaiman atas segala jasa dan sumbangan beliau. Saya juga berharap beliau akan terus memberi sumbangan menerusi kedudukan beliau sebagai wakil rakyat Barisan Nasional," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Sulaiman, 41, yang merupakan anak lelaki sulung kepada Abdul Taib dilantik ke jawatan timbalan menteri pada 19 Mac 2008 semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Perdana Menteri, dan apabila Najib mengambil alih jawatan itu pada April tahun ini, Sulaiman dikekalkan di jawatan itu dalam barisan kabinet baru.

Sulaiman pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum 2008 dengan memenangi kerusi Parlimen Kota Samarahan, Sarawak setelah menewaskan Hussain Abang Apok, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 11,411 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain