suria

Pekerja Stesen Minyak Rakyat Pakistan Mati Dibunuh

SEREMBAN: Seorang lelaki rakyat Pakistan mati manakala rakannya cedera setelah diserang sekumpulan lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Ujong di sini, malam tadi.

Mayat lelaki yang hanya dikenali sebagai Nasir dan berusia dalam lingkungan 20-an itu ditemui dengan kesan kelar di leher dan kaki serta tangannya diikat dengan tali rafia.

"Rakannya yang cedera di rusuk kiri pula hanya dikenali sebagai Sohail, berumur dalam lingkungan 30-an. Kedua-dua mereka adalah pekerja stesen minyak itu," kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri DSP Zazali Hashim.

Beliau berkata dalam kejadian yang dilapor berlaku pada pukul 11.15 malam itu, Nasir diserang dalam kabin (tempat rehat pekerja) yang terletak berhampiran stesen minyak berkenaan, manakala rakannya diserang di kaunter stesen minyak itu.

Polis percaya kejadian itu bermotifkan samun kerana penjenayah terbabit melarikan wang di mesin kaunter dan polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai diguna dalam kejadian itu, katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati 10 lelaki tiba di stesen minyak itu dengan dua teksi dan mereka kemudian berpecah kepada dua kumpulan.

Mayat Nasir dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini manakala Sohail kini dirawat di hospital yang sama dan keadaannya dilapor stabil. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain