suria

Kementerian Pengajian Tinggi Tiada Maklumat Nur Amalina Gagal

KUALA LUMPUR: Nur Amalina Che Bakri, pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia 2004, tidak pernah gagal dalam pengajiannya dan masih menuntut di Universiti Edinburgh dalam bidang perubatan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai desas-desus yang mengatakan Nur Amalina gagal dalam pengajiannya serta tidak lagi menuntut di United Kingdom.

"Setakat yang kita tahu, beliau sedang menuntut di universiti itu dan kementerian tiada sebarang maklumat yang mendakwa beliau gagal dalam pengajiannya.

"Lazimnya, mereka yang menuntut di luar negeri terdiri daripada pelajar cemerlang dan mendapat tajaan biasiswa, dan sekiranya mereka gagal, penaja akan menjadi pihak pertama yang tahu mengenai perkara itu.

"Walau bagaimanapun, kita akan melihat dan cuba mendapatkan maklumat tentang apa yang sebenarnya berlaku," katanya ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Parlimen hari ini.

Isu kegagalan Nur Amalina dalam pengajiannya dibangkitkan Zulkifli Nordin (PKRKulimBandar Baru) ketika perbahasan. Bagaimanapun, sejurus selepas Saifuddin memberikan jawapan tersebut, anggota Parlimen Kulim-Bandar Baru itu kemudian memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau telah menerima maklumat terkini berhubung kedudukan sebenar Nur Amalina di Universiti Edinburgh.

"Saya mendapat maklumat daripada seorang pelajar Malaysia yang turut belajar di Universiti of Edinburgh.

"Menurut pelajar itu, Nur Amalina tidak pernah gagal dalam pengajiannya, malah antara pelajar terbaik dalam bidang Farmakologi dengan Pengalaman Industri (Pharmacology with Industrial Experience).

"Pelajar itu berharap perkara ini dapat dijelaskan," katanya lagi.

Nur Amalina, 22, merupakan pelajar yang mencipta rekod dalam pendidikan negara apabila memperolehi 17 A1 dalam peperiksaan SPM.

Beliau kemudian ditaja Bank Negara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di United Kingdom.

Menurut Wikipedia, Nur Amalina baru sahaja menamatkan tahun keduanya apabila ditawarkan universiti berkenaan untuk mengikuti ijazah dalam Farmakologi dengan Pengalaman Industri berdasarkan keputusannya yang cemerlang.

Ini bermakna beliau akan memperoleh ijazah berganda di penghujung kursus perubatan yang diikutinya.

Nur Amalina hanya akan menyambung pengajian dalam bidang perubatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang Farmakologi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain