suria

JKR Diminta Kenal Pasti Jalan Yang Mendatangkan Mudarat Di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenalpasti jalan-jalan di negeri ini yang boleh mendatangkan kemudaratan dan menyebabkan kemalangan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata JKR diminta untuk membuat kajian dan laporan itu dalam masa enam bulan.

"Semua kawasan yang dikenalpasti serta pandangan dan maklum balas akan dimasukkan dalam laporan itu supaya kita boleh membuat keputusan yang tepat. Kita juga akan mengadakan rundingan dengan penduduk dan pemimpin tempatan supaya kita tidak mahu kerajaan disalahkan nanti.

"Kita akan pastikan aspek keselamatan dijadikan agenda utama. Kita nak proaktif...kita tak mahu lagi bila dah berlaku kemalangan, baru nak buat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian dua beradik Anisah Hanapiah, 15, dan Mohd. Hafiz Hanapiah, 7, maut selepas sebuah lori tangki minyak terbabas dan merempuh rumah mereka sebelum meletup di Kampung Batu 18, Ulu Klawang, Jelebu, Sabtu lepas, beliau berkata JKR telah diminta supaya mengambil tindakan segera untuk meluruskan jalan berkenaan kerana kawasan itu berbahaya.

Tragedi ngeri yang berlaku pada pukul 8.35 pagi itu turut meragut nyawa pemandu lori itu, Samsulkahar Bahudin, 36, selepas mengalami 60 peratus kesan terbakar.

Mohamad berkata tindakan untuk meluruskan jalan berkenaan memerlukan kerjasama dan persetujuan penduduk kerana melibatkan pengambilan tanah.

"Kita dalam keadaan serba salah bila kita nak buat pengambilan tanah yang melibatkan rumah orang perseorangan. Bila kita nak ambil tanah, kita terpaksa memikirkan dari segi kemanusiaan, tapi kalau tak ambil, jadi perkara buruk macam ni (kemalangan).

"Kita bimbang sekiranya ia tidak dilakukan akan ada lagi insiden seperti ini berlaku lagi apatah lagi kawasan itu berdekatan dengan rumah penduduk. Oleh itu kita perlu berhati-hati dan kita mengambil sikap bahawa keselamatan perlu diutamakan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain