suria

"Jangan bimbang...MCA akan segera cari jalan penyelesaian" - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berharap MCA akan segera mencari jalan penyelesaian berhubung konflik dalaman parti itu walaupun tiada tempoh masa yang ditetapkan.

Menurutnya, secara prinsip pemimpin MCA telah bersetuju supaya satu pemilihan baru parti itu diadakan.

“MCA sedar mereka perlu selesaikan konflik (dalaman parti itu) dalam masa tertentu. Kalau tidak boleh cepat, jangan terlalu lambat,” katanya selepas menghadiri bengkel siri kelima pembentangan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di sini pada Ahad.

Bagaimanapun Najib berkata, pemimpin parti itu tidak menetapkan tempoh tertentu untuk menyerahkan surat peletakan jawatan mereka bagi membolehkan pemilihan baru dilaksanakan.

Jelasnya, pada ketika ini pemimpin MCA masih berbincang untuk mendapatkan konsensus di kalangan mereka.

“Pada hakikatnya mereka belum lagi menyerahkan surat peletakan jawatan mereka tidak bermakna mereka tidak akan berbuat demikian. “Ini semua bergantung pada persefahaman bahawa mereka akan bersetuju tidak lama lagi. Apa yang masih perlu diselesaikan ialah masa pemilihan MCA diadakan. Tetapi pada prinsipnya mengadakan pemilihan sudah diterima,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sebahagian pemimpin MCA enggan meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan baru parti itu diadakan dalam usaha menyelesaikan konflik dalaman parti berkenaan.

Ditanya mengenai perkembangan terkini dalam MCA, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, setakat ini tiada perkembangan baru dan beliau masih menanti tindakan seterusnya daripada pemimpin parti tersebut.

Dalam perkembangan lain, mengenai isu yang akan di bawa pada Sidang Kemuncak Mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark yang akan berlangsung Khamis depan, Najib berkata Malaysia akan menjelaskan pendiriannya dalam isu berkenaan dan ia akan diumumkan kemudian.

“Saya akan umumkan apa pendirian kita bila tiba masanya. Saya tidak mahu usaha kita gagal.

“Tetapi Malaysia sangat komited kepada dasar untuk mengurangkan penggunaan karbon secara sukarela,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain