suria

Dua Anggota Polis Dijatuhi Hukuman Penjara Dan Denda Kerana Rasuah

KUALA LUMPUR: "Kamu sepatutnya memikirkan kesan daripada perbuatan kamu ini kerana ia melibatkan bidang polis, selain anggota keluarga kamu sendiri; dan sekarang baru nak ingat insaf," kata Hakim Mahkamah Sesyen di sini sebelum menjatuhkan hukuman terhadap dua anggota polis kerana menerima rasuah.

Hakim Rosbiahanin Ariffin memerintahkan Konstabel Hisham Mohamad, 25 dan Lans Koperal Sunata Selamat, 36, yang dituduh mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, masing-masing dipenjara sebulan mulai hari ini dan didenda RM10,000 selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan rasuah.

Beliau juga mengarahkan mereka dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Rosbiahanin membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa peguambela Shakir Hussin yang mewakili Hisham serta peguambela Jamal Abbal yang mewakili Sunata; gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guam mereka.

Bagaimanapun beliau membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap mereka dan membenarkan Sunata membayar denda itu secara ansuran RM5,000 dan bakinya sebelum atau pada 29 Januari tahun depan. Rosbiahanin membenarkan penangguhan itu sehingga rayuan mereka selesai di Mahkamah Tinggi, dengan menetapkan ikat jamin baru RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Terdahulu pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Nur Eylia Yunos yang memohon agar mahkamah memandang serius kes ini kerana ia melibatkan kepentingan awam dan badan polis.

Hisham dan Sunata yang bertugas di Balai Polis Wangsa Maju didakwa menerima RM1,500 dari Adnan Tayip, sebagai dorongan supaya melepaskan tiga lelaki Indonesia, Mahrus Usman, Bambang Budiyanto dan Mohamad Ghazali, daripada ditangkap kerana tiada permit kerja yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pondok Polis Taman Melati antara pukul 6 hingga 6.30 petang pada 17 Julai 2006. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain