suria

Bekas Pengurus Projek Kuala Dimensi Dituduh Menipu LPK

KLANG: Seorang bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) hari ini dihadapkan ke mahkamah atas 24 tuduhan menipu membabitkan RM116.85 juta, menjadi orang keempat yang didakwa dalam skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Law Jenn Dong, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seysen di sini hari ini kerana menipu dan dibenarkan diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin.

Kesnya akan disebut semula pada 4 Febuari depan.

Law didakwa menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada KDSB membabitkan dua projek besar di PKFZ.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008. Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan serta denda jika bersabit kesalahan.

Law adalah pegawai kedua dari KDSb, yang merupakan kontraktor projek PKFZ itu, yang diheret ke mahkamah berhubung projek tersebut.

Pada Khamis lepas, bekas pengurus besar LPK Datin Paduka O.C.Phang dan dua yang lain mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama, masing-masingnya terhadap tuduhan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu berhubung skandal itu.

Phang mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM254.84 juta dan diikat jamin sebanyak RM350,000.

Steven Abok, ketua pegawai operasi KDSb, dan arkitek, Bernard Tan Seng Swee dari BTA Architect, perunding projek berkenaan, didakwa bersama terhadap dua pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan RM5.42 juta.

Tan turut didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas terhadap 24 tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM122.27 juta. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata selepas pendakwaan ketiga-tiga itu, lebih ramai individu akan didakwa dan siasatan akan berterusan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain