suria

Baki Penduduk Setinggan Kampung Kerinchi Dinasihatkan Berpindah

KUALA LUMPUR: Baki 50 orang penduduk di kawasan setinggan Bukit B, Kampung Kerinchi di sini diberi tempoh sehingga Mac depan untuk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Mereka diberi tempoh tiga bulan untuk berpindah ke unit yang telah disediakan atau unit itu akan diberikan kepada orang lain sebab ramai lagi yang menunggu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan RHB Bank cawangan Bangsar South di sini hari ini.

Sebelum ini 50 penduduk tersebut enggan berpindah ke PPR Sri Cempaka di Pantai Dalam dan mahu dipindahkan ke PPR Kerinchi di Lembah Pantai.

Perpindahan itu juga bakal mempercepatkan pembangunan di kawasan sekitar dan jika masih ada pihak yang enggan berpindah adalah sukar untuk mencapai kemajuan keseluruhan di situ atau ia akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan, katanya.

"Kita juga kesal dengan golongan yang menentang pembangunan macam di Bukit B, wakil rakyat Lembah Pantai pula kata pada mereka supaya jangan pergi ambil kunci rumah dan sebagainya, jadi timbul percanggahan pendapat antara penduduk dan akhirnya nanti pembangunan di sini tidak seimbang. Saya tak ada apa kepentingan, kita hanya nak bantu penduduk," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, pembukaan RHB Bank cawangan Bangsar South tersebut, bukan sahaja dapat memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan malah memudahkan mereka dalam urusan perbankan.

"Jika dahulu penduduk tempatan atau peniaga-peniaga di sini terpaksa pergi jauh untuk urusan perbankan tetapi dengan pembukaan RHB Bank cawangan Bangsar South ini, masa dapat dijimatkan sebab jalan kaki pun dah boleh sampai," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain