ASNB Isytihar Agihan Pendapatan 7.30sen Seunit Bagi ASB - Semasa | mStar

ASNB Isytihar Agihan Pendapatan 7.30sen Seunit Bagi ASB

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), satu syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), telah mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 7.30 sen seunit dan bonus sebanyak 1.25 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB), untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2009.

Tahun lepas, pengurus dana milik kerajaan itu mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.0 sen seunit dan bonus sebanyak 1.75 sen seunit.

Mengumumkan dividen dan bonus tersebut hari ini, pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, agihan pendapatan itu akan membabitkan pembayaran sebanyak RM4.95 bilion oleh ASNB, satu peningkatan 19.56 peratus daripada RM4.14 bilion yang dibayar pada 2008.

Bahagian bonus pula akan membabitkan pembayaran sebanyak RM537.65 juta oleh PNB.

Pembayaran ini akan memberi faedah kepada 6.78 juta pemegang unit yang kini memegang lebih 70 bilion unit ASB.

"Walaupun jumlahnya (dividen dan bonus) kelihatan lebih rendah tahun ini pada 8.55 sen seunit berbanding 8.75 sen seunit tahun lepas, dari segi jumlah keseluruhan yang akan dibayar, ia adalah lebih tinggi iaitu RM5.48 bilion berbanding RM4.79 bilion tahun lepas," kata ketua pegawai eksekutif kumpulan dan presiden PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Hamad Kama Piah juga berkata, PNB berada pada kedudukan yang kukuh dan akan memastikan pembayaran dividen yang berterusan.

"Berdasarkan rizab dana, kapasiti kami adalah lebih daripada 11 sen seunit tetapi kami hanya membayar 7.30 sen seunit dan membawa ke hadapan baki 3.70 sen untuk tahun 2010.

"Ini ialah dana jangka panjang dan kami mahu memastikan kami boleh menggunakan wang itu untuk membeli lebih banyak saham dan membuat lebih banyak pelaburan kerana kami akan harus membayar sekali lagi," tambahnya.

Sehingga 10 Disember, ASB mencatatkan pendapatan kasar RM5.46 bilion, satu peningkatan 3.4 peratus daripada RM5.28 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat penerima pelaburan menyumbang RM1.48 bilion, atau 27 peratus daripada pendapatan kasar.

Keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM3.67 bilion, atau 67 peratus, sementara baki RM309 juta atau 6.0 peratus adalah daripada pelaburan-pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pelaburan.

Agihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun-akaun pemegang unit.

Semua urus niaga ASB akan digantung mulai 21 Dis hingga 3 Januari untuk memudahkan pengiraan agihan pendapatan dan bonus.

Pemegang unit boleh mengemaskinikan akaun mereka mulai 4 Januari.

ASB adalah dana pendapatan ekuiti harga tetap yang dibuka kepada semua Bumiputera berumur 12 tahun ke atas.

Ia bertujuan untuk menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan berdaya saing untuk pemegang unit.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Artikel Lain