suria

Umno Rai Pengamal Media Di PWTC

KUALA LUMPUR:Kira-kira 800 pengamal media cetak dan elektronik diraikan pada Malam Penghargaan Media Massa 2009 anjuran Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri yang juga Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta keseluruhan barisan kepimpinan parti.

Majlis itu, yang julung kali diadakan, bertujuan memberi penghargaan kepada semua syarikat dan pengamal media yang membuat liputan Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung pada 13 hingga 16 Oktober lepas.

Beberapa anugerah diberikan kepada pengamal media termasuk anugerah khas Umno bagi mengiktiraf mereka yang membuat berita politik tanah air yang digondol oleh wartawan The Star, Joceline Tan.

Anugerah foto terbaik dimenangi Norafifi Ehsan dari The Star dan video terbaik oleh Buletin Utama TV3 sementara laporan terbaik Rozaman Ismail dari Utusan Malaysia.

Pada majlis itu hadirin dihiburkan dengan persembahan artis tempatan serta wakil media. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain