suria

Polis Cedera Dirempuh Mat Rempit Ketika Operasi Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis yang sedang bertugas dalam operasi sekatan jalan raya di Dataran Merdeka tengah malam tadi, cedera di tangan kirinya apabila dirempuh sebuah motosikal yang ditunggangi dua remaja berumur 18 tahun.

Anggota polis berumur 30 tahun yang berkawal lima meter dari halangan sekatan jalan raya itu, cuba menahan kedua-dua remaja itu apabila mereka merempuh halangan tersebut, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang kepada pemberita di tempat kejadian.

Kang mengetuai operasi kira-kira empat jam mulai 12 tengah malam bersama pasukan trafik Kuala Lumpur, unit cegah samun, ragut dan seluk saku serta unit anjing pengesan (K9).

Beliau berkata penunggang dan pembonceng itu yang melarikan diri selepas kejadian berjaya diberkas polis di kawasan Brickfields, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati penunggang motosikal itu tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan motosikal itu juga sudah tamat tempoh, katanya dan menambah, kedua-dua remaja itu yang tinggal di Negeri Sembilan, datang ke bandar raya untuk "merempit." Beliau berkata siasatan sedang dijalankan ke atas remaja itu mengikut seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 450 kenderaan diperiksa dan 90 saman dikeluarkan kepada pemilik kenderaan kerana pelbagai kesalahan jalan raya.

Enam daripada 80 penunggang dan pembonceng yang menjalani ujian saringan air kencing didapati positif dadah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain