suria

Persatuan Belia Diminta Segera Pilih Pemimpin Berusia Bawah 40 Tahun

MELAKA: Semua persatuan belia di negara ini diminta merealisasikan segera peralihan pemimpin baru kepada belia berusia bawah 40 tahun, sebelum akhir tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata peralihan itu sejajar dengan Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia Negara 2007 di mana setiap anggota dan pemimpin belia yang dilantik memegang jawatan diwajibkan berusia bawah 40 tahun.

"Saya mengharapkan sepenuhnya semua persatuan belia benar-benar dapat merealisasikan hasrat Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia yang baru itu sebelum penghujung tahun ini.

"Melaksanakannya bukan perkara yang baru kerana kita mesti sejajar dengan definisi belia dunia, kalau di peringkat dunia mereka menganggap belia itu berusia bawah 35 tahun tetapi kita agak berlembut dan tetapkan usia 40 tahun ke bawah," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-60 World Assembly of Youth (WAY) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, malam tadi. Turut hadir pada majlis itu, Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden WAY Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bekas Presiden WAY, Ole Lovig Simonsen.

Ahmad Shabery berkata sekiranya peralihan itu tidak dilaksanakan segera, dibimbangi persatuan belia tidak relevan di kalangan belia.

Beliau berkata persatuan belia yang dipimpin oleh belia sendiri akan dapat mengatur dan melaksanakan pelbagai aktiviti mengikut kehendak golongan muda.

Katanya kementeriannya akan berusaha untuk mengetengahkan pemimpin daripada golongan muda dalam forum antarabangsa supaya mereka boleh bercakap isu antarabangsa dengan baik. Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut melancarkan buku mengenai WAY bertajuk "London to Melaka, 19492009". -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain