suria

Permata Pintar Cadang Anak-Anak Pintar Negara Bergaul Dengan Kanak-Kanak Pintar ASEAN

BANGI: Datin Seri Rosmah Mansor bercadang untuk meluaskan penyertaan program Permata Pintar dengan menjemput anak-anak pintar dari negara-negara Asean untuk menyertainya.

Penaung program itu berkata, ini bagi membolehkan anak-anak pintar di negara ini berpeluang bercampur gaul dengan anak-anak pintar dari luar negara.

"Mereka dapat saling mengenali budaya, memahami fikiran, cara hidup, cara berinteraksi selain dapat melebarkan rangkaian (persahabatan) masing-masing.

"Malah para peserta Permata Pintar dari luar negara dapat mengenali Malaysia secara lebih dekat lagi. Itulah cita-cita saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bersama para pelajar Permata Pintar semasa majlis meraikan kejayaan perkhemahan pelajar Permata Pintar 2009 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Dekan Fakulti Pendidikan, Profesor Datin Dr Siti Rahaya Arifin serta Ketua Pusat Permata Pintar UKM, Profesor Madya Dr Noriah Mohd Ishak.

Seramai 405 pelajar iaitu 222 pelajar sekolah rendah dan 183 pelajar sekolah menengah berusia dari 9 hingga 15 tahun terlibat dalam perkhemahan pintar selama tiga minggu dari 29 November hingga 18 Disember ini.

Mengenai perancangan masa depan Permata Pintar, Rosmah berharap dapat membawa para pelajar pintar dari Sabah dan Sarawak menyertai perkhemahan pelajar Permata Pintar di Semenanjung Malaysia.

Katanya, para pelajar pintar dari Semenanjung Malaysia pula akan dihantar menyertai kem perkhemahan di Sabah dan Sarawak.

"Saya ingin melihat kanak-kanak berinteraksi satu sama lain," kata beliau yang ingin menerapkan semangat 1Malaysia di kalangan para pelajar.

Tambah isteri Perdana Menteri itu, program sedemikian diharap dapat diadakan di universiti-universiti tempatan di bahagian utara dan selatan Semenanjung selain di pantai Timur seperti Sabah dan Sarawak.

Menjawab satu soalan pelajar, Rosmah berkata, beliau mendapat ilham menjayakan program Permata Pintar selepas lawatannya ke universiti luar negara dua tahun lalu.

Rosmah berkata dia tertarik dengan kewujudan Pusat Kecemerlangan Pemuda Pintar Universiti John Hopkins.

"Saya ingin bawa fasiliti, kursus dan program untuk anak-anak pintar di Malaysia kerana saya sedar terdapat anak-anak pintar di bandar dan luar bandar," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain