suria

Perlukah Satu Dasar Terbuka Atas Nama Pembangunan?

KETIKA menghadiri persidangan Millenium Development Goals di La Trobe University, Victoria, saya tertarik dengan perdebatan berkenaan penglibatan pendatang asing dalam pembangunan sesebuah negara.

Secara amnya, kalau dilihat di serata dunia, hampir setiap pelusuk bumi, terdapat lebih dari satu bangsa mendiaminya.

Penghijrahan manusia dari negara asal mereka ke negara baru telah berlaku sejak berabad dan berzaman lamanya. Dan ia terus berlaku pada abad milenia ini. Namun hari ini, sejauh manakah sesebuah negara menerima kemasukan warga asing secara telus?

Saya amat tertarik dengan hujah yang dikemukakan oleh Duta Besar Afrika Selatan ke Australia, di mana beliau mengatakan, selepas berlalunya zaman kekejaman apartheid, kerajaan Afrika Selatan membuka pintu masuk seluas-luasnya buat warga asing dengan tujuan pembangunan negara.

Beliau menegaskan, kemasukan warga asing tidak hanya akan datang dengan tangan kosong. Kemasukan mereka adalah bersama-sama dana kewangan serta pemindahan teknologi yang secara tidak langsung dapat menjimatkan pengaliran wang kerajaan.

Ironinya, dalam mereka mengalu-alukan kedatangan warga asing untuk berkhidmat di negara mereka, para warga asing ini dikehendaki mematuhi pelbagai syarat, termasuklah syarat mereka (warga asing) tidak digalakkan bermastautin secara tetap di Afrika Selatan.

Bila diasak dengan pelbagai soalan, beliau menjelaskan, jika pendatang diberi status kekal, kedatangan mereka hanya akan memberikan impak yang negatif, iaitu, pemindahan pengetahuan serta teknologi tidak akan berlaku secara menyeluruh.

Walau bagaimanapun, menurut beliau lagi situasi ini hanyalah bersifat sementara, sehinggalah penduduk asal dapat berdiri di atas kaki mereka sendiri.

Apabila senario ini berlaku, mereka akan menutup pintu untuk warga asing berkhidmat di negara mereka, dan konsep penyatuan dan pembangunan modal insan akan mula ditekankan pula.

Di Singapura, kerajaan republik itu menggalakkan kemasukan pendatang dari kalangan profesional dan diberi taraf kewarganegaraan semata-mata untuk menaikkan nama negara mereka di persada dunia, terutama sekali dalam bidang sukan.

Lihat sahaja atlit-atlit mereka, boleh dikatakan ramai bukan penduduk asal negara tersebut mengibarkan bendera Singapura, namum disebabkan inginkan populariti negara meningkat, tindakan drastik ini diberi pengecualian.

Strategi ini, bagi kerajaan Singapura amat berkesan dalam meningkatkan industri pelancongan, ekonomi dan pertukaran wang asing. Pada masa yang sama tindakan ini akan memberikan saingan yang sengit terhadap kemurahan barangan di Malaysia dan keindahan panorama di Indonesia yang menjadikan tarikan kehadiran warga asing.

Australia pula memperdagangkan sektor pelajaran. Lebih dari 1 juta pelajar, ketika ini, membanjiri negara ini dari semua peringkat pendidikan. Bagi kerajaan pimpinan Kevin Rudd, kaedah ini cukup mujarab untuk membangunkan infrastruktur negara.

Bagi beliau, dengan kemasukan pelajar secara besar-besaran, maka kawasan perumahan terpaksa dibuka, hospital dibina dan kemudahan pengangkutan awam diperbaiki. Secara tidak langsung tempias ini dinikmati oleh penduduk tetap negara tersebut.

Bayangkan dalam setahun, keuntungan yang dinikmati oleh Australia mencecah billion dollar dari bayar yuran pengajian sahaja, belum termasuk belanja-belanja yang lain.

Apabila berlaku kekecohan pelajar India di sini, Kevin Rudd terpaksa melawat India untuk meyakinkan warga India, Australia merupakan negara aman tanpa prejudis perkauman.

Kerana kekurangan pelajar India seramai 3,000 orang akan menyebabkan 10% pekerja di sektor ini terkubur.

Bagi saya, Malaysia perlu belajar dari suasana ini. Kita jangan terlalu bergantung dengan tenaga luar, kita harus bina diri kita sendiri, biar pun lambat, biarpun memakan belanja kerana impaknya lebih jitu.

Lihat sahaja kejatuhan Kuwait apabila Iraq melanda negara mereka pada Perang Teluk suatu ketika dahulu. Penduduk luar melebihi dari warganegara mereka sendiri dan kekuatan tentera banyak bergantung pada tenaga luar.

Berapa ramai di antara mereka yang sanggup bertarung nyawa mempertahankan negara bukan milik mereka sendiri apabila Kuwait diceroboh. Jawapannya ialah tiada langsung.

Jangan sampai kerana mengharapkan kemudahan yang cepat, kita alpa kesan yang bakal ditinggalkan. Jangan sampai, menang sorak kampung tergadai dan jangan sampai kera di hutan disusukan anak sendiri mati kelaparan.

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI merupakan Honorary Visiting Academician di University of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected]

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain