suria

Peranan Media Penting Untuk Bimbing Pemikiran Rakyat

KUALA LUMPUR: Peranan wartawan sangat penting dalam membimbing pemikiran orang ramai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata perkara yang tidak diingini akan berlaku apabila media disalahgunakan untuk menyebar maklumat yang merosakkan nilai-nilai.

"Sebenarnya setiap wartawan dan pengendali media termasuk media baru mestilah memiliki tanggungjawab, empati dan cakna dalam setiap sajian berita, isu dan idea.

"Apa yag sebenarnya disaji dan diutarakan adalah saduran pemikiran yang akan mempengaruhi khalayak yang akan meninggalkan impak terhadap kesejahteraan kehidupan bernegara," katanya pada majlis makan malam Penghargaan Media Massa Umno 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Najib berkata kerosakan yang akan terjadi lebih sukar untuk diperbaiki daripada membina sesuatu yang baik.

"Dunia telah menyaksikan berulang kali betapa peperangan mengakibatkan korban. Tetapi korban yang diakibatkan oleh hasutan media jauh lebih besar daripada peperangan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata perkembangan dalam negara di akhir-akhir ini benar-benar memerlukan makna perpaduan yang sebenar diamalkan kerana apabila ia semakin menipis atau terhakis, maka akan nampaklah penurunan moral dan empati dalam masyarakat.

Beliau berkata hanya melalui kekuatan roh perpaduan kita dapat melahirkan semangat partriotisme dan jiwa besar rakyat merdeka, manakala teras partriotisme pula adalah rasa keprihatinan mendalam di antara sesama warga.

"Kita mestilah menyedari bahawa landasan demokrasi adalah berasaskan konsep empati, keprihatinan mendalam terhadap sesama kita dan bertindak secara bertanggungjawab," katanya.

Najib berkata berdasarkan pemahaman dan kesedaran bahawa betapa perlunya kita memelihara kestabilan negara dan kemajuan generasi masa depan, maka adalah sangat penting bagi kita menyediakan teladan yang cemerlang untuk dicontohi oleh anak cucu.

Beliau berkata, sehubungan itu, prinsip kebebasan, keseimbangan dan keadilan mestilah dapat memberi nilai murni sejagat pada kehidupan.

Mengenai kegawatan pemikiran, Najib berkata beliau sedar rakyat terpaksa berhadapan dengan kegawatan pemikiran yang bersimpang-siur kerana terlalu banyak pembohongan, kepalsuan, fitnah, pengkhianatan, keruntuhan adab sopan akibat salah guna kebebasan.

"Mengkhianati tanggungjawab dan salah guna hak sehingga mengorbankan nilai luhur kemanusiaan dan kewarganegaraan yang baik, akibatnya, keharmonian sosial tergugat, kestabilan negara terancam dan kesejahteraan hidup menurun," tegasnya.

Malah katanya kesan daripadanya timbul pelbagai kegelisahan yang meruncing yang sebenarnya tidak patut berlaku, tambah beliau.

Perdana Menteri juga berkata di era ini adalah penting untuk rakyat memiliki kemahiran berfikir, bertutur dan bertindak.

"Amalan demokrasi juling pada hari ini kian menjadi bahaya jika berakar pada sikap kegelojohan merebut wang, kuasa dan tempat dalam struktur sosial malah fakta sejarah sanggup diselewengkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain