suria

Penduduk Kelantan Yang Berisiko Perlu Jalani Ujian HIV

MACHANG: Kira-kira 1.6 juta penduduk Kelantan yang mengesyaki diri berisiko tinggi dijangkiti virus HIV perlu menjalani saringan untuk mengesahkannya bagi mengurangkan jumlah penghidap yang tertinggi berbanding negeri lain.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Abu Hassan Ashaari berkata ini disebabkan jabatannya dapat mengesan jangkitan virus itu mula menyerang mangsa tanpa mengira umur walaupun warga emas 60 tahun ke atas.

"Mereka sama ada lelaki atau perempuan terutama yang kerap berkahwin dan tidak menyedari pasangan masing-masing pembawa virus berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari AIDS Sedunia 2009 peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau berkata golongan berisiko itu boleh menjalani ujian HIV di pusat kesihatan atau hospital kerajaan secara percuma tanpa mendedahkan identiti diri.

Katanya sejak jangkitan HIV mula dilaporkan pada 1986, jumlah kes baru HIV tertinggi dilaporkan pada tahun 2005 ialah 1,239 orang atau 93.9 bagi setiap 100,000 penduduk di Kelantan.

"Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sejumlah 494 kes baru dilaporkan iaitu 30.2 bagi setiap 100,000 penduduk Kelantan," katanya.

Dr Abu Hasan berkata jangkitan itu berpunca daripada penagih dadah yang bergilir-gilir menggunakan jarum suntikan dan mereka yang melanggani pelacur di pekan sempadan Malaysia-Thailand.

Bagaimanapun, katanya pihaknya menyasarkan untuk menurunkan kes itu sebanyak 22 bagi setiap 100,000 penduduk menjelang tahun 2015. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain