suria

Lesen Memandu SKSJ Bukan Kelas Kedua

PEKAN: Lesen memandu yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui program "Satu Komuniti Satu JPJ" (SKSJ) di seluruh negara bukan lesen bertaraf kelas kedua.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ Rohaizah Mohamad Rashid berkata dakwaan sesetengah pihak berhubung perkara itu adalah tidak benar, sebaliknya pengeluaran lesen memandu itu berdasarkan kelayakan yang telah ditetapkan.

Beliau berkata tanggapan itu mungkin disebabkan peratusan kelulusan yang tinggi setiap kali program berkenaan dijalankan.

"Ujian yang dilakukan sememangnya tidak begitu intensif berbanding kebiasaan memandangkan ia melibatkan masyarakat yang telah berumur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program itu di Kampung Baru Salong di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, JPJ tidak mengeluarkan lesen dengan sewenang-wenangnya sebaliknya pemohon lesen berkenaan telah berjaya memenuhi kelayakan minimum yang diperlukan.

Pada program itu seramai 490 daripada 502 penduduk sekitar kampung itu yang memohon layak menerima lesen masing -masing. Program itu bertujuan mendekatkan JPJ dengan masyarakat luar bandar khususnya warga emas dan Orang Asli bagi membantu mereka mendapatkan lesen memandu kelas B2 untuk menunggang motosikal. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain